Mengapa Persepsi DAP Anti Melayu dan ISLAM Semakin Membarah?

Pada 7 Januari 2016, Datuk Prof Dr Mohammad Redzuan Othman mengumumkan dapatan kaji selidik Institut Darul Ehsan milik Kerajaan Selangor, yang DAP sendiri sebahagian daripadanya, antara 13 hingga 15 November 2015 bahawa 64 peratus daripada 1,716 responden Melayunya di Selangor bersetuju DAP adalah anti Melayu dan anti Islam.

Ekoran itu, pemimpin DAP, khususnya Penasihat DAP, Lim Kit Siang, secara terbuka menyalahkan kempen UMNO dan PAS sebagai punca semakin meningkatnya sentimen kebencian orang-orang Melayu Islam terhadap DAP di samping menggesa pemimpin, ahli dan penyokong DAP merasa bimbang dan mengambil berat mengenai perkara ini.

Antara langkah-langkah yang dicadangkan oleh Lim Kit Siang bagi menangkis persepsi yang semakin buruk terhadap DAP di kalangan orang-orang Melayu Islam adalah supaya pemimpin, ahli dan penyokong DAP lebih banyak bersemuka dengan orang-orang Melayu Islam dan memberikan penerangan bahawa DAP bukan anti Melayu dan anti Islam.

Bagaimanapun, langkah-langkah ini kelihatan tidak memberikan sebarang kesan ekoran pengumuman terbaru Wan Saiful Wan Jan mengenai dapatan kaji selidik ISEAS – Yusof Ishak Institute, Singapura, antara Mei dan Jun 2017 bahawa 71 peratus daripada 1,104 responden Melayunya di Johor bersetuju DAP adalah anti Melayu dan anti Islam.

Persepsi DAP adalah anti Islam khususnya adalah begitu meluas sekali, malah dinyatakan secara terbuka bukan sahaja oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, malah oleh pelbagai tokoh Melayu Islam lain, termasuklah di dalam khutbah Aidil Adha Jabatan Mufti Negeri Pahang pada 2015.

DAP malangnya gagal berbuat apa-apa dan seolah-olah “helpless” untuk menangani perkara ini selain hanya membuat laporan polis yang tidak bererti atau membuat ugutan yang tidak terkota untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyebut DAP anti Islam, termasuk ugutan Lim Kit Siang terhadap Datuk Seri Abdul Hadi.

Persepsi DAP anti Islam yang dipersetujui oleh 64 peratus daripada Melayu Selangor pada November 2015 dan dipersetujui oleh 71 peratus daripada Melayu Johor antara Mei dan Jun 2017 sepatutnya sangat membimbangkan pemimpin DAP dan pemimpin parti-parti Melayu yang bersekutu dengannya di dalam Pakatan Harapan.

Ini kerana, pertamanya, walaupun melibatkan dua negeri yang berbeza, secara kasarnya terdapat peningkatan yang ketara di dalam persetujuan orang-orang Melayu Islam bahawa DAP adalah anti Melayu dan anti Islam antara 2015 dan 2017, iaitu 64 peratus pada 2015 dan 71 peratus pada 2017, walaupun pelbagai usaha dibuat oleh DAP bagi mengatasinya.

Keduanya adalah kerana kedua-dua kaji selidik yang menunjukkan wujudnya persepsi yang semakin buruk terhadap DAP di kalangan orang-orang Melayu Islam ini bukanlah dikendalikan oleh pihak-pihak yang memusuhi DAP, tetapi dikendalikan oleh pihak-pihak yang sama ada bersekutu dengan DAP atau tidak memihak kepada musuh-musuh DAP.

Bila kaji selidik yang dikendalikan oleh pihak-pihak yang bersekutu dengan DAP atau tidak memihak kepada musuh-musuh DAP pun sudah menunjukkan wujudnya persepsi yang sangat negatif terhadap DAP di kalangan orang-orang Melayu Islam, bayangkanlah jika ia dibuat oleh pihak-pihak yang memusuhi DAP atau memihak kepada musuh-musuh DAP.

Ketiganya adalah kerana kedua-dua kaji selidik ini dikendalikan di negeri-negeri bukan “Malay-belt” di sebelah Pantai Timur dan Utara Semenanjung Malaysia tetapi di negeri-negeri maju yang DAP mempunyai kehadiran yang nyata, khususnya melalui 15 Ahli Dewan Undangan Negeri di Selangor dan 13 Ahli Dewan Undangan Negeri di Johor.

Bila kaji selidik yang dikendalikan di negeri-negeri maju yang DAP mempunyai kehadiran yang nyata, membolehkan DAP lebih banyak bersemuka dengan orang-orang Melayu Islam, pun sudah menunjukkan wujudnya persepsi yang sangat negatif terhadap DAP di kalangan orang-orang Melayu Islam, bayangkanlah jika ia dibuat di negeri-negeri “Malay-belt”.

Soalnya ialah mengapa persepsi DAP anti Melayu anti Islam ini semakin membarah tatkala Lim Kit Siang sendiri telah menyarankan pemimpin, ahli dan penyokong DAP berbuat sesuatu mengenainya? Bolehkah ini diatasi hanya dengan menyalahkan UMNO dan PAS sedangkan DAP sendiri tidak pernah mengambil sebarang langkah konkrit ke atasnya?

Sumber FB: Dr. Kamarul Yusoff

Amanah Tidak Mampu Ganti PAS

KOTA BHARU - 27 kerusi yang diperuntukkan kepada Amanah tidak cukup menggambarkan hasrat asal penubuhan parti, apalagi mahu mencabar Pas.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, objektif Amanah adalah untuk menggantikan tempat dalam Pas di dalam Pakatan Harapan, tetapi pengagihan kerusi itu tidak menggambarkan hasrat tersebut.

“Dalam PRU lalu, 65 kerusi parlimen yang ditandingi, hanya 25 kerusi yang diberikan kepada Amanah, manakala 35 kerusi lagi kepada Bersatu, empat PKR dan 1 DAP.

“Dakwaan Amanah pengganti Pas diragui pelbagai pihak kerana pengganti Pas tidak sepatutnya diberikan tidak sampai separuh kerusi,” katanya.

Kamarul Zaman mengulas pengumuman Muafakat Pakatan Harapan 8 Januari lalu yang menyaksikan Amanah mendapat kerusi tercorot berbanding parti-parti lain dalam Harapan.

Kata penganalisis politik itu, Bersatu sebagai sebuah parti terbaru tidak sepatutnya cuba menjadi abang besar dalam Harapan, apatah lagi dengan segala permasalahan yang dihadapinya dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) berhubung penubuhannya.

“Tindakan Bersatu mengambil kedua-dua kerusi Pas di Wilayah Persekutuan dan di Perlis untuknya sehingga Amanah langsung tidak dapat bertanding di situ menunjukkan ketamakan Bersatu, namun peliknya pemimpin Amanah sendiri boleh bersetuju dengan hal ini.

“Semua ini menunjukkan para pemimpin Amanah tidak tegas di dalam mempertahankan kepentingan parti mereka menyebabkan mereka diperbudak-budakkan oleh parti-parti lain sekali gus menyebabkan masa depan Amanah dijangka sangat suram.

“Saya boleh memahami bila pemimpin bawahan Amanah berduka dan kecewa atas layanan teruk yang mereka terima ini, malah di Wilayah Persekutuan sampai ada yang dilaporkan menangis, kerana ia berkait dengan masa depan Amanah.

“Presiden Amanah, Mohamad Sabu, boleh sahaja menyatakan bahawa Amanah akan memenangi kesemua 27 kerusi yang diberi kepada mereka demi memujuk para penyokong, tetapi realitinya sangat mustahil mereka menang kesemuanya.

“Layanan teruk terhadap Amanah dalam soal agihan kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia ini sepatutnya mampu menyedarkan sebahagian pendokongnya betapa perjuangan Islam yang cuba mereka bawa sukar terlaksana melalui Harapan.

“Jika kita lihat di negeri sasaran Amanah seperti Kelantan sekalipun, Amanah hanya diberi lima daripada 14 kerusi Parlimen, sedangkan ramai yang tahu Bersatu yang membolot kerusi tidak mempunyai pemimpin dan jentera yang kuat pun di negeri itu.

“Perlu diingat, jika masa depan Amanah dilihat berada di awang-awangan, masa depan Harapan juga akan terjejas sama kerana sudah tentu penyokong Amanah tidak akan beri komitmen penuh kepada rakan-rakan mereka,” katanya.

Sumber FB: Dr. Kamarul Yusoff

Mahfuz Tak Perlu Bajet Baik, Fikrah Pun Tak Jelas

MAHFUZ TAK PERLU BAJET BAIK, FIKRAH PUN TAK JELAS

Membaca kenyataan-kenyataan Ahli Parlimen Pokok Sena merangkap bekas Ketua Penerangan PAS Pusat yang baru keluar dari PAS pada 31 Disember 2017 lalu, Datuk Mahfuz Omar, yang tersiar di dalam media sejak kebelakangan ini, nampak semacam beliau sedang berusaha kuat memprojeksikan diri beliau sebagai seorang pemimpin yang baik, di dalam erti kata tidak menggunakan bahasa yang kasar ke atas lawan-lawan politik beliau.

Memang Datuk Mahfuz tidak patut terasa hati dengan kata-kata ibarat seperti “orang yang sudah lama mati cuma baru nak tanam” atau “harumanis bila dah busuk dia jatuh sendiri”, apatah lagi untuk menjawabnya, kerana ia hanyalah kata-kata ibarat yang kebetulannya pula sangat sesuai dengan diri beliau ekoran keperibadian beliau dan lebih-lebih lagi perlakuan beliau sendiri terhadap lawan-lawan politik beliau mahupun kepada PAS selama ini.

Saya sendiri kerapkali bersikap kritikal terhadap Datuk Mahfuz sejak beliau masih menjadi Ketua Penerangan PAS Pusat lagi kerana, pada hemat saya, pembawaan beliau yang suka menggunakan bahasa yang kasar ke atas lawan-lawan politik beliau, sama ada di dalam ucapan lisan mahupun di dalam kenyataan bertulis beliau, selain daripada banyaknya insiden keterbabasan dari segi fakta, tidak sesuai dengan imej PAS sebagai sebuah parti politik Islam.

Antara contoh yang segera muncul dalam fikiran saya mengenai pembawaan Datuk Mahfuz ini ialah kenyataan beliau yang dilaporkan oleh KiniTV pada 29 Julai 2014 yang, sewaktu mengulas penstrukturan semula kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak, mengkritik keras kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak itu dengan menggunakan bahasa kasar, tanpa hujah ilmiah, dengan menyifatkannya sebagai “kabinet yang hanya layak menjaga tandas awam”.

Tidak cukup dengan itu, sewaktu beliau masih menjadi ahli PAS sekalipun, beliau kerapkali menggunakan bahasa kasar yang tidak selayaknya digunakan oleh seorang ahli parti terhadap parti yang dianggotainya, dengan umpamanya menyebut, pada 25 Disember 2016, PAS sebagai parti yang oportunis, tidak berprinsip dan tidak boleh dipercayai kerana kononnya mengamalkan “strategi yang cuba ‘makan keliling’” dan “budaya politik tak tentu hala”.

Lebih jauh daripada ini, Datuk Mahfuz juga bagi saya tidak mempunyai fikrah perjuangan yang jelas, di mana antara contoh yang segera muncul dalam fikiran saya mengenai perkara ini ialah tindakan Datuk Mahfuz mengeluarkan kenyataan atas nama Ketua Penerangan PAS Pusat pada 10 Disember 2014 yang menyokong surat terbuka Kumpulan G25 sedangkan surat terbuka ini menyeru penilaian semula undang-undang jenayah syariah di Malaysia.

Bahawa Datuk Mahfuz tidak mempunyai fikrah perjuangan yang jelas juga tergambar di dalam satu ucapan beliau di Kuala Kedah pada 30 April 2017 lalu yang mewajarkan kerjasama antara PAS dengan parti-parti yang pernah mengkhianati PAS selama ini asal sahaja “kerjasama dengan pengkhianat itu boleh menjamin kemenangan kepada PAS”, di mana ucapan ini melayakkan beliau untuk dinobatkan sebagai Machiavelli baru Malaysia.

Tahap dan fikrah perjuangan Datuk Mahfuz terkini, seperti tercatat dalam page beliau pada 10 Januari lalu, hanyalah: “KEDAH TEMPAH SEJARAH ALMARHUM SULTAN ABDUL HALIM 2 KALI MENJADI YANG DIPERTUAN AGONG DAN TUN MAHATHIR AKAN BAKAL 2 KALI MENJADI PERDANA MENTERI.syabas dan tahniah orang Kedah.saya bangga jadi anak Kedah kerana umno bakal dihumban oleh gabungan bekas presiden dan 2 timbalan presiden umno bersama rakan2 pembangkan yg lain”.

Sebab itulah, pada hemat saya, Datuk Mahfuz berlagak baik ini sebenarnya bukan sangat kerana beliau tidak mahu menjawab kata-kata ibarat yang diberikan kepada beliau, tetapi kerana beliau sebenarnya tidak mampu untuk menjawabnya kerana kata-kata ibarat ini memang sangat tepat mengena diri beliau ekoran keperibadian beliau dan lebih-lebih lagi perlakuan beliau sendiri selama ini sehingga menyebabkan ia tidak boleh dijawab.

Sumber FB: Dr. Kamarul Yusoff