Mengapa Persepsi DAP Anti Melayu dan ISLAM Semakin Membarah?

Pada 7 Januari 2016, Datuk Prof Dr Mohammad Redzuan Othman mengumumkan dapatan kaji selidik Institut Darul Ehsan milik Kerajaan Selangor, yang DAP sendiri sebahagian daripadanya, antara 13 hingga 15 November 2015 bahawa 64 peratus daripada 1,716 responden Melayunya di Selangor bersetuju DAP adalah anti Melayu dan anti Islam.

Ekoran itu, pemimpin DAP, khususnya Penasihat DAP, Lim Kit Siang, secara terbuka menyalahkan kempen UMNO dan PAS sebagai punca semakin meningkatnya sentimen kebencian orang-orang Melayu Islam terhadap DAP di samping menggesa pemimpin, ahli dan penyokong DAP merasa bimbang dan mengambil berat mengenai perkara ini.

Antara langkah-langkah yang dicadangkan oleh Lim Kit Siang bagi menangkis persepsi yang semakin buruk terhadap DAP di kalangan orang-orang Melayu Islam adalah supaya pemimpin, ahli dan penyokong DAP lebih banyak bersemuka dengan orang-orang Melayu Islam dan memberikan penerangan bahawa DAP bukan anti Melayu dan anti Islam.

Bagaimanapun, langkah-langkah ini kelihatan tidak memberikan sebarang kesan ekoran pengumuman terbaru Wan Saiful Wan Jan mengenai dapatan kaji selidik ISEAS – Yusof Ishak Institute, Singapura, antara Mei dan Jun 2017 bahawa 71 peratus daripada 1,104 responden Melayunya di Johor bersetuju DAP adalah anti Melayu dan anti Islam.

Persepsi DAP adalah anti Islam khususnya adalah begitu meluas sekali, malah dinyatakan secara terbuka bukan sahaja oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, malah oleh pelbagai tokoh Melayu Islam lain, termasuklah di dalam khutbah Aidil Adha Jabatan Mufti Negeri Pahang pada 2015.

DAP malangnya gagal berbuat apa-apa dan seolah-olah “helpless” untuk menangani perkara ini selain hanya membuat laporan polis yang tidak bererti atau membuat ugutan yang tidak terkota untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyebut DAP anti Islam, termasuk ugutan Lim Kit Siang terhadap Datuk Seri Abdul Hadi.

Persepsi DAP anti Islam yang dipersetujui oleh 64 peratus daripada Melayu Selangor pada November 2015 dan dipersetujui oleh 71 peratus daripada Melayu Johor antara Mei dan Jun 2017 sepatutnya sangat membimbangkan pemimpin DAP dan pemimpin parti-parti Melayu yang bersekutu dengannya di dalam Pakatan Harapan.

Ini kerana, pertamanya, walaupun melibatkan dua negeri yang berbeza, secara kasarnya terdapat peningkatan yang ketara di dalam persetujuan orang-orang Melayu Islam bahawa DAP adalah anti Melayu dan anti Islam antara 2015 dan 2017, iaitu 64 peratus pada 2015 dan 71 peratus pada 2017, walaupun pelbagai usaha dibuat oleh DAP bagi mengatasinya.

Keduanya adalah kerana kedua-dua kaji selidik yang menunjukkan wujudnya persepsi yang semakin buruk terhadap DAP di kalangan orang-orang Melayu Islam ini bukanlah dikendalikan oleh pihak-pihak yang memusuhi DAP, tetapi dikendalikan oleh pihak-pihak yang sama ada bersekutu dengan DAP atau tidak memihak kepada musuh-musuh DAP.

Bila kaji selidik yang dikendalikan oleh pihak-pihak yang bersekutu dengan DAP atau tidak memihak kepada musuh-musuh DAP pun sudah menunjukkan wujudnya persepsi yang sangat negatif terhadap DAP di kalangan orang-orang Melayu Islam, bayangkanlah jika ia dibuat oleh pihak-pihak yang memusuhi DAP atau memihak kepada musuh-musuh DAP.

Ketiganya adalah kerana kedua-dua kaji selidik ini dikendalikan di negeri-negeri bukan “Malay-belt” di sebelah Pantai Timur dan Utara Semenanjung Malaysia tetapi di negeri-negeri maju yang DAP mempunyai kehadiran yang nyata, khususnya melalui 15 Ahli Dewan Undangan Negeri di Selangor dan 13 Ahli Dewan Undangan Negeri di Johor.

Bila kaji selidik yang dikendalikan di negeri-negeri maju yang DAP mempunyai kehadiran yang nyata, membolehkan DAP lebih banyak bersemuka dengan orang-orang Melayu Islam, pun sudah menunjukkan wujudnya persepsi yang sangat negatif terhadap DAP di kalangan orang-orang Melayu Islam, bayangkanlah jika ia dibuat di negeri-negeri “Malay-belt”.

Soalnya ialah mengapa persepsi DAP anti Melayu anti Islam ini semakin membarah tatkala Lim Kit Siang sendiri telah menyarankan pemimpin, ahli dan penyokong DAP berbuat sesuatu mengenainya? Bolehkah ini diatasi hanya dengan menyalahkan UMNO dan PAS sedangkan DAP sendiri tidak pernah mengambil sebarang langkah konkrit ke atasnya?

Sumber FB: Dr. Kamarul Yusoff

Amanah Tidak Mampu Ganti PAS

KOTA BHARU - 27 kerusi yang diperuntukkan kepada Amanah tidak cukup menggambarkan hasrat asal penubuhan parti, apalagi mahu mencabar Pas.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, objektif Amanah adalah untuk menggantikan tempat dalam Pas di dalam Pakatan Harapan, tetapi pengagihan kerusi itu tidak menggambarkan hasrat tersebut.

“Dalam PRU lalu, 65 kerusi parlimen yang ditandingi, hanya 25 kerusi yang diberikan kepada Amanah, manakala 35 kerusi lagi kepada Bersatu, empat PKR dan 1 DAP.

“Dakwaan Amanah pengganti Pas diragui pelbagai pihak kerana pengganti Pas tidak sepatutnya diberikan tidak sampai separuh kerusi,” katanya.

Kamarul Zaman mengulas pengumuman Muafakat Pakatan Harapan 8 Januari lalu yang menyaksikan Amanah mendapat kerusi tercorot berbanding parti-parti lain dalam Harapan.

Kata penganalisis politik itu, Bersatu sebagai sebuah parti terbaru tidak sepatutnya cuba menjadi abang besar dalam Harapan, apatah lagi dengan segala permasalahan yang dihadapinya dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) berhubung penubuhannya.

“Tindakan Bersatu mengambil kedua-dua kerusi Pas di Wilayah Persekutuan dan di Perlis untuknya sehingga Amanah langsung tidak dapat bertanding di situ menunjukkan ketamakan Bersatu, namun peliknya pemimpin Amanah sendiri boleh bersetuju dengan hal ini.

“Semua ini menunjukkan para pemimpin Amanah tidak tegas di dalam mempertahankan kepentingan parti mereka menyebabkan mereka diperbudak-budakkan oleh parti-parti lain sekali gus menyebabkan masa depan Amanah dijangka sangat suram.

“Saya boleh memahami bila pemimpin bawahan Amanah berduka dan kecewa atas layanan teruk yang mereka terima ini, malah di Wilayah Persekutuan sampai ada yang dilaporkan menangis, kerana ia berkait dengan masa depan Amanah.

“Presiden Amanah, Mohamad Sabu, boleh sahaja menyatakan bahawa Amanah akan memenangi kesemua 27 kerusi yang diberi kepada mereka demi memujuk para penyokong, tetapi realitinya sangat mustahil mereka menang kesemuanya.

“Layanan teruk terhadap Amanah dalam soal agihan kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia ini sepatutnya mampu menyedarkan sebahagian pendokongnya betapa perjuangan Islam yang cuba mereka bawa sukar terlaksana melalui Harapan.

“Jika kita lihat di negeri sasaran Amanah seperti Kelantan sekalipun, Amanah hanya diberi lima daripada 14 kerusi Parlimen, sedangkan ramai yang tahu Bersatu yang membolot kerusi tidak mempunyai pemimpin dan jentera yang kuat pun di negeri itu.

“Perlu diingat, jika masa depan Amanah dilihat berada di awang-awangan, masa depan Harapan juga akan terjejas sama kerana sudah tentu penyokong Amanah tidak akan beri komitmen penuh kepada rakan-rakan mereka,” katanya.

Sumber FB: Dr. Kamarul Yusoff

Mahfuz Tak Perlu Bajet Baik, Fikrah Pun Tak Jelas

MAHFUZ TAK PERLU BAJET BAIK, FIKRAH PUN TAK JELAS

Membaca kenyataan-kenyataan Ahli Parlimen Pokok Sena merangkap bekas Ketua Penerangan PAS Pusat yang baru keluar dari PAS pada 31 Disember 2017 lalu, Datuk Mahfuz Omar, yang tersiar di dalam media sejak kebelakangan ini, nampak semacam beliau sedang berusaha kuat memprojeksikan diri beliau sebagai seorang pemimpin yang baik, di dalam erti kata tidak menggunakan bahasa yang kasar ke atas lawan-lawan politik beliau.

Memang Datuk Mahfuz tidak patut terasa hati dengan kata-kata ibarat seperti “orang yang sudah lama mati cuma baru nak tanam” atau “harumanis bila dah busuk dia jatuh sendiri”, apatah lagi untuk menjawabnya, kerana ia hanyalah kata-kata ibarat yang kebetulannya pula sangat sesuai dengan diri beliau ekoran keperibadian beliau dan lebih-lebih lagi perlakuan beliau sendiri terhadap lawan-lawan politik beliau mahupun kepada PAS selama ini.

Saya sendiri kerapkali bersikap kritikal terhadap Datuk Mahfuz sejak beliau masih menjadi Ketua Penerangan PAS Pusat lagi kerana, pada hemat saya, pembawaan beliau yang suka menggunakan bahasa yang kasar ke atas lawan-lawan politik beliau, sama ada di dalam ucapan lisan mahupun di dalam kenyataan bertulis beliau, selain daripada banyaknya insiden keterbabasan dari segi fakta, tidak sesuai dengan imej PAS sebagai sebuah parti politik Islam.

Antara contoh yang segera muncul dalam fikiran saya mengenai pembawaan Datuk Mahfuz ini ialah kenyataan beliau yang dilaporkan oleh KiniTV pada 29 Julai 2014 yang, sewaktu mengulas penstrukturan semula kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak, mengkritik keras kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak itu dengan menggunakan bahasa kasar, tanpa hujah ilmiah, dengan menyifatkannya sebagai “kabinet yang hanya layak menjaga tandas awam”.

Tidak cukup dengan itu, sewaktu beliau masih menjadi ahli PAS sekalipun, beliau kerapkali menggunakan bahasa kasar yang tidak selayaknya digunakan oleh seorang ahli parti terhadap parti yang dianggotainya, dengan umpamanya menyebut, pada 25 Disember 2016, PAS sebagai parti yang oportunis, tidak berprinsip dan tidak boleh dipercayai kerana kononnya mengamalkan “strategi yang cuba ‘makan keliling’” dan “budaya politik tak tentu hala”.

Lebih jauh daripada ini, Datuk Mahfuz juga bagi saya tidak mempunyai fikrah perjuangan yang jelas, di mana antara contoh yang segera muncul dalam fikiran saya mengenai perkara ini ialah tindakan Datuk Mahfuz mengeluarkan kenyataan atas nama Ketua Penerangan PAS Pusat pada 10 Disember 2014 yang menyokong surat terbuka Kumpulan G25 sedangkan surat terbuka ini menyeru penilaian semula undang-undang jenayah syariah di Malaysia.

Bahawa Datuk Mahfuz tidak mempunyai fikrah perjuangan yang jelas juga tergambar di dalam satu ucapan beliau di Kuala Kedah pada 30 April 2017 lalu yang mewajarkan kerjasama antara PAS dengan parti-parti yang pernah mengkhianati PAS selama ini asal sahaja “kerjasama dengan pengkhianat itu boleh menjamin kemenangan kepada PAS”, di mana ucapan ini melayakkan beliau untuk dinobatkan sebagai Machiavelli baru Malaysia.

Tahap dan fikrah perjuangan Datuk Mahfuz terkini, seperti tercatat dalam page beliau pada 10 Januari lalu, hanyalah: “KEDAH TEMPAH SEJARAH ALMARHUM SULTAN ABDUL HALIM 2 KALI MENJADI YANG DIPERTUAN AGONG DAN TUN MAHATHIR AKAN BAKAL 2 KALI MENJADI PERDANA MENTERI.syabas dan tahniah orang Kedah.saya bangga jadi anak Kedah kerana umno bakal dihumban oleh gabungan bekas presiden dan 2 timbalan presiden umno bersama rakan2 pembangkan yg lain”.

Sebab itulah, pada hemat saya, Datuk Mahfuz berlagak baik ini sebenarnya bukan sangat kerana beliau tidak mahu menjawab kata-kata ibarat yang diberikan kepada beliau, tetapi kerana beliau sebenarnya tidak mampu untuk menjawabnya kerana kata-kata ibarat ini memang sangat tepat mengena diri beliau ekoran keperibadian beliau dan lebih-lebih lagi perlakuan beliau sendiri selama ini sehingga menyebabkan ia tidak boleh dijawab.

Sumber FB: Dr. Kamarul Yusoff

RUU355: PAS tetap Bentang RUU355 Sidang Kali Ini

MARANG - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetap akan membentangkan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355 pada persidangan Parlimen kali ini.

Beliau berkata, walaupun kerajaan Barisan Nasional memutuskan untuk tidak membentangkan rang undang-undang itu, PAS tetap akan membentangkan sebagai rang undang-undang persendirian dan berharap kerajaan akan menyokong tindakan itu.

"Masa itu, terpulanglah kepada Yang Dipertua untuk menentukan bila waktu yang sesuai mengikut 'Standing Order' perjalanan sidang Parlimen selepas urusan kerajaan.

"Tapi, sudah tentu kerajaan boleh beri masa bila-bila sahaja untuk Pas bawa RUU355...saya seru semua Anggota Parlimen Islam supaya menyokong dan bagi yang bukan Islam pula, hormatilah Perlembagaan.

"Perlembagaan menyatakan ini hak yang berkait dengan orang Islam sahaja," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Rusila di sini, hari ini.

RUU355 dibentangkan buat pertama kalinya oleh Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang di Dewan Rakyat pada Mei 2016 dengan tujuan untuk memperkasakan Mahkamah Syariah. - Bernama

RUU355: Tuan Guru Presiden PAS Sendiri yg Akan Bentang

RUU 355: Tuan Guru Presiden PAS Sendiri Yang Akan Bentang

Dalam sidang media di Rusila sebentar tadi, Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang memaklumkan yang PAS sudah pun mendapat laluan dan beliau sendiri akan membentangkan RUU Pensendirian bagi meminda Akta 355.

Ianya akan dibahaskan pada sidang kali ini juga. Tarikh tepatnya akan ditentukan oleh Tan Sri Speaker Dewan Rakyat mengikut Peraturan Dewan iaitu selepas selesai urusan Kerajaan.

Beliau turut menyatakan ini adalah kewajipan bersama dan hak bagi orang Islam, tidak ada sebab orang bukan Islam mahu campurtangan.

Beliau menyeru Ahli Parlimen Muslim menyokong RUU ini nanti manakala Ahli Parlimen Bukan Islam menghormati Perlembagaan kerana ini hak yang berkait dengan orang Islam sahaja.

Di akhirnya, Tuan Guru Presiden PAS dengan tegas berkata kita akan hadapi halangan dan kita kenal siapa yang menghalangnya..!!!

Lepasni hujjah apalagi yg akan mereka gunakan utk memperlekeh usaha PAS, dan kita sama2 menyaksikan MP manakah yg bakal menyokong dan yg menolak.. Ia akan menyerlahkan sifat sebenar mereka tentang pelaksanaan utk memperkasakan institusi Mahkamah Syariah.

Kenali Tuan Guru Haji Hadi

BIODATA DATUK SERI TUAN GURU HAJI HADI :-

Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mendapat pendidikan sehingga ke Universiti Islam Madinah untuk peringkat Ijazah Sarjana Muda Syariah (1969-1973) dan menerima Ijazah Sarjana Siasah Syariah (MA) dari Universiti Al-Azhar, Mesir (1974 hingga 1976 )
ANUGERAH & PENGIKTIRAFAN

1) Anugerahkan Darjah Seri Setia Sultan Mahmud Terengganu (SSMT) yang membawa gelaran Dato’ Seri oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-39.
2) Anugerah ‘Tokoh Alim Rabbani’ oleh Universiti Islam Yala, Pattani, Thailand pada 15 April 2011. Beliau merupakan individu luar Thailand yang
pertama mendapat pengiktirafan tersebut.

PENGALAMAN MEMIMPIN DI DALAM MASYARAKAT & POLITIK.
1) Ketua Pelajar Malaysia Universiti Islam Madinah
2) Setiausaha Agung Gabungan Pelajar-pelajar Asia Tenggara di Madinah
3) Setiausaha Seksyen (bahagian) Syariah dan Undang-undang, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).
4) Pegawai Yayasan Islam Terengganu dari tahun 1977 hingga 1978
5) Ketua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Terengganu pada 1982
7) Setiausaha Ranting (sekarang dikenali sebagai Cawangan) PAS kampung Rusila, Marang
8) Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu
9) Exco Dewan Pemuda PAS Pusat
10) Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (mulai1977)
11) Ahli Parlimen Marang (2004-kini)
12) ADUN Rhu Rendang (1982-kini)
13) Menteri Besar Terengganu (1999-2004)
14) Timbalan Presiden PAS mulai tahun 1989
15) Memangku seketika jawatan Presiden PAS pada Jun 2002
16) Ahli Jawatankuasa Penyelaras Gabungan Parti-parti Politik Islam bagi menangani isu Palestin berpusat di Amman, Jordan pada 1990.
17) Ahli al-Majma’ al-Alami li al-Taqrib Baina al-Mazahib al-Islamiah (Majlis Antarabangsa bagi Pendekatan Mazhab-mazhab Islam) berpusat di
Tehran, Iran.
18) Ahli Jawatankuasa Penyelaras Gerakan Islam Sedunia,
berpusat di Istanbul, Turki pada 1994.
19) Presiden PAS (2003-kini)
20) Naib Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (2014-kini)

PENGLIBATAN BELIAU DI ARENA ANTARABANGSA
Tuan Guru mempunyai pengalaman yang sarat dalam Gerakan Islam dan penglibatan di peringkat antarabangsa. Semasa beliau belajar di Madinah, beliau telah menerima pendedahan pemikiran Ikhwanul Muslimin secara serius apabila dua tokoh Ikhwan, Profesor Dr Muhammad Al-Wakeel dan
Sheikh Said Hawwa menjadi mentor Siasah Syar’iyyah beliau. Beliau turut belajar dari Dr. Abdul Satar Al Khudsi yang turut aktif dalam Ikhwanul Muslimin waktu itu.

Diantara penglibatan beliau di arena antarabangsa ialah,
1) Memberi sokongan terhadap Harakah al-Muqawwamat al-Islamiyyah (HAMAS).
2) Seiringan berada di pentas bersama-sama kepimpinan HAMAS, Ikhwanul Muslimin dalam membela isu Palestin Mendesak Kerajaan Malaysia mengiktiraf kemenangan HAMAS sebagai kerajaan yang sah.
3) Mengetuai delegasi ahli Parlimen PAS serta NGO Islam untuk memasuki Kota Gaza, namun dihalang
4) Menyertai delegasi ahli Parlimen parti-parti Islam yang dipimpin oleh Dr. Najmuddin Erbakan, bekas Perdana Menteri Turki menemui Setiausaha
Agung PBB, Boutros Boutros Ghali serta menemui Ahli Senat Amerika Syarikat.
5) Bersama pemimpin gerakan Islam yang lain ke Baghdad atas jemputan Perdana Menteri Iraq, Saddam Hussien semasa krisis Perang Teluk.
6) Menyertai delegasi pemimpin gerakan Islam seluruh dunia yang diketuai oleh pemimpin Ikhwanul Muslimin, Sheikh Mustafa Masyhur ke Afghanistan, bagi membantu penegakan negara islam dan mengelakkan konflik antara jemaah Islam yang agak retak selepas pengunduran Rusia
dari Afghanistan.
7) Sering diundang menghadiri Ijtima’ Am yang dianjurkan Parti Islam Pakistan (Jamaat-e-Islami) dan beberapa gerakan Islam Indonesia seperti
Partai Keadilan Sejahtera dan Partai Bulan Bintang.
8) Pernah menyampaikan ucapan di Seminar Antarabangsa Perpaduan Umat Islam dalam menghadapi masalah Bosnia-Herzegovina.
9) Mewakili PAS ke Muktamar Pertubuhan-pertubuhan Islam Sedunia ke-5 di Istanbul pada 1996.
10) Diberi penghormatan menyampaikan ucapan bertajuk ‘Kebangkitan Islam: Kebijaksanaan Menanganinya’ di Persidangan Antarabangsa
Kebangkitan Islam di Tehran pada 24 September 2011. Persidangan yang disertai oleh 700 perwakilan dari seluruh negara umat Islam itu
membincangkan konflik terkini yang berlaku di AsiaBarat seperti di Mesir, Tunisia, Libya, Yaman, Syria dan Palestin.
11) Mewakili gerakan Islam Malaysia (PAS) ke Kongres Kesatuan Antarabangsa Komuniti Muslim kali ke-22 di Istanbul, Turki pada Mei 2013.

Kongres tersebut turut dihadiri oleh pemimpin dari An-Nahdah Tunisia, Rashid al-Ghannoushi; dari HAMAS Palestin, Ismail Haniyeh dan Khaled Meshal; dari Ikhwanul Muslimin Mesir, Muhammad Badie; dari Jamaat-e-Islami Pakistan, Syed Munawwar Hassan; dan dari Ikhwanul Muslimin Syria, Riyadh al-Sakfa. Kongres tersebut turut menerima ucaptama dari dua pemimpin Negara Islam, Dr Mohammed Mursi (Mesir) dan Mahmoud Ahmadinejad (Iran).

KARYA PENULISAN TUAN GURU HAJI ABDUL HADI:
1) Islam Satu-satunya Penyelesaian : Maktabah Barakah, 2014
2) Tafsir At-Tibyan : Tafsir Surah Al-Baqarah Ayat 1-82, Penerbitan Harakah, 2014
3) Aqidah dan Perjuangan (bersama Ustaz Fadzil Mohd Noor) : Jundi Resources, 2012
4) Siapa Menganut Ajaran Sesat? : Jundi Resources, 2012 5) At Tibyan Dalam Mentafsirkan Al-Quran: Surah As Saff : Jundi Resources. 2011[39]
6) Taktik & Strategi Berpolitik Gaya Khulafa ar-Rasyidin : PTS Islamika, 2010.
7) Palestin Daripada Perampas Jalanan Kepada Peta Jalanan : Jundi Resources, 2010 [40]
8) Bagaimana Islam Memerintah Negara : PTS Islamika, 2009.
9) Islam : Adil untuk Semua : PTS Islamika, 2009.
10) Tafsir At Tibyan Surah Yasin : Nufair Street, 2009
11) Mutiara 2 Tok Guru: Membangun Ummah (bersama Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat): Nufair Steert, 2008 Beriman kepada Qadak & Qadar : PTS Publications & Distributors, 2008
12) Beriman kepada Hari Akhirat : PTS Islamika, 2008.
13) Beriman kepada Malaikat & Kitab : PTS Islamika, 2007.
14) Beriman kepada Rasul : PTS Publications, 2007. Beriman kepada Allah : PTS Islamika ; 2007.
15) Inilah Akidah Muslim : PTS Publications & Distributors, 2007.
16) Fahaman dan Ideologi Umat Islam : PTS Islamika, 2007.
17) Takwa : Takut tetapi Rindu : PTS Publications & Distributors, 2007.
18) Islam dan Demokrasi : PTS Islamika, 2007.
19) Ramadan: Tetamu Yang Dirindui : PTS Islamika, 2007.
20) Muqaddimah Aqidah Muslimin (edisi baru): Sarjana Media, 2006.
21) Hadharah Islamiyyah bukan Islam Hadhari : Nufair Street, 2005.
22) Islam: Fikrah, Harakah & Daulah : Dewan Pustaka Fajar, 2005
23) At Tibyan Dalam Mentafsirkan Al-Quran: Surah Al-Baqarah. Nufair Street, 2004
24) Sekolah Agama Rakyat Pertahan Benteng Kekuatan Ummah : Jabatan Penerangan PAS Pusat, 2003
25) At Tibyan Dalam . Al-Quran: Surah Al-Hasyr & Al-Fil : As-Syabab Media, 2002.
26) Khutbah Jumaat & Hari Raya: Dari Mimbar Masjid Rusila : As-Syabab Media, 2002
27) Surah al-Hujurat : As-Syabab Media, 2002.
28) Amanat Haji Hadi : Jabatan Penerangan PAS Pusat, 2002
29) Konsep Negara Islam dan Matlamatnya : Yayasan Islam 4, 2002
30) Qazaf: Mangsa Fitnah : Jabatan Penerangan dan Penyelidikan PAS Pusat, 2001.
31) Tafsir Surah Yaasin : Penerbitan Muttaqin, 2000
32) Isu Hudud : Haji Hadi jawab Mahathir : Jabatan Penerangan PAS Pusat, 1994.
33) Antara Wawasan dan Jumud : Lujnah Penerangan dan Dakwah, PAS Kawasan Parlimen Balik Pulau, 1993
34) Kaedah Islam dan Implikasi Perang Teluk : Jabatan Penerangan, Penyelidikan dan Dkawah PAS Pusat, 1991. Perpecahan Bangsa dan Penyelesaian (bersama Ustaz Fadzil Mohd Noor) : Dewan Pemuda PAS Malaysia & G.G Edar, 1988
35) Muqaddimah Aqidah Muslimin :Gedung Gua, 1985
36) Hizbullah dan Hizbul Syaitan : Penerbitan Gedung Ummah, 1984
37) Jika Islam mentadbir : wawancara U.P.I. Paul Wedel dengan Haji Abdul Hadi b. Hj. Awang : Penerbitan Gedung Ummah, 1984 terus memimpin Parti Islam Semalaysia ( PAS )

RUU355: UMNO Rugi, PAS Dapat Pahala

RUU 355: Umno rugi, PAS dapat pahala, kata Ibrahim Ali.

KUALA LUMPUR: PAS sudah dapat pahala walaupun usul Hadi tidak dapat dibentangkan di Dewan Rakyat, kata Datuk Ibrahim Ali.

Sebaliknya, Umno diramalkan hilang sokongan penyokong rang undang-undang meminda Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355.

“PAS dapat pahala walaupun belum berjaya membentangkan RUU 355 di Parlimen. PAS dah buktikan kesungguhan dan bukan retorik semata-mata,” kata Presiden Perkasa pada sidang media di ibu pejabat Perkasa di sini.

“Umno rugi di kawasan penyokong tegar PAS di negeri seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu. Namun di negeri seperti Selangor, Perak dan Sabah akan beri keuntungan kepada BN.”
BN pada 29 Mac lalu memutuskan untuk tidak membentangkan usul Hadi susulan bantahan dalam kalangan ahli komponen.

Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak berkata keputusan dibuat selaras amalan konsensus, dan menyerahkan nasib usul Hadi kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Ibrahim akan menghantar surat kepada Pandikar menggesa usul Hadi dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

Katanya kerajaan harus memberikan peluang kepada Hadi membentangkan rang undang-undang kontroversi itu demi Islam.

“Tak ada alasan langsung untuk menidakkan oleh speaker (Pandikar) kerana proses demokrasi kalau dihalang berdosa. Nak seribu daya, tak nak seribu dalih,” katanya.